Monday, May 21, 2012

Doktor Philippe Grenier, ulama, doktor dan ahli parlimen pertama di Perancis.

assalamualaikum semua.

Pada tahun 2010, aku telah melawat bandar Pontarlier yang terletak kira-kira 58KM dari bandar Besançon. bandar ni sama je macam bandar Perancis ; cantik, comel dan bersih. ada satu muzium dekat situ, dan masa tu tengah ada pameran pasak Dr Philippe Grenier ni. mula-mula tak berminat, tapi tengok potret Dr tu pakai serban, terus rasa kagum.

ok, Dr ni adalah ahli parlimen muslim yang pertama. ketika beliau 'memegang' Pontarlier, beliau megharamkan penjualan sejenis arak yang dipanggil 'absinth' - arak terkenal keluaran Pontarlier. beliau percaya bahawa arak ni la yang menyebabkan keruntuhan moral. pada waktu itu orang mabuk bersepah-sepah (sekarang pun masih ada). kes rogol, bunuh, curi etc menjadi2. so, ulama ni pun haramkan jualan nya secara terbuka dulu, kemudian beliau haramkan pula minum, dan seterusnya haramkan pengeluaran absinth, bukan mudah bila kita melawan arus. arak adalah simbol orang-orang perancis. tapi oleh kerana kewibawaan beliau, masyarakat setempat patuh. dan hasilnya kadar masalah sosial menurun dengan mendadak.

nak tahu cerita selanjutnya, baca lah artikel yang telah diterjemahkan ini.

Doktor Philippe Grenier
Ahli Parlimen muslim pertama di Perancis

Laporan Amara BAMBA : Selasa 6 Disember 2005. Terjemahan : Hamzah HAMSAN Selasa 22 Mei 2012


Sebelum 20 disember 1896, tiada seorang pun muslim di Perancis yang dipilih menjadi ahli parlimen republik itu. Kebiasaannya ahli parlimen Perancis beragama kristian, yahudi, pagan namun tiada seorang pun adalah muslim. Pada ketika itu, agama bukan lah perkara yang dipandang remeh di parlimen. Philippe Grenier mengetahuinya dan beliau tidak pernah berputus asa.


Pada bulan disember 1896, 109 tahun yang lampau, Dr Philippe Grenier telah dipilih di Jura sebagai ahli parlimen di Parlimen Perancis. Pada ketika itu beliau berumur 31 tahun dan beliau merupakan seorang muslim.



Seorang doktor rakyat
Di bandar beliau, Pontarlier, Philippe Grenier dikenali sebagai seorang muslim serba boleh, seorang individu yang dihormati dari segi peribada dan cara beliau bekerja. Beliau merupakan seorang doktor, tinggal di bandar itu sejak 1890, memeluk islam pada tahun 1894. Beliau sentiasa berhujah mengenai ketuhanan, merawat orang miskin secara percuma dan menentang kezaliman didalam sistem masyarakat secara terang-terangan.

Bapa beliau merupakan kapten armada, ahli tertinggi kerajaan Napoléon III. Beliau berkhidmat bersama pasukan tentera di Afrika, Monstaganem (Algeria). Beliau meninggal dunia pada tahun 1872 ketika Philippe hanya berumur Sembilan tahun.

Selepas baccalauréat (setaraf A-level) di Besançon, Philippe Grenier meneruskan pelajaran didalam bidang perubatan antara tahun 1883 dan 1890, sebelum beliau pindah ke Pontarlier dan membuka sebuah klinik. Pada tahun tersebut, beliau melawat adik bongsunya di Blida, Algeria. Dan waktu tersebut merupakan pengalaman pertama beliau bertemu orang islam.
 
doktor muda ini terkejut dengan cara layanan yang diberikan empayar Perancis terhadap orang muslim di Algeria.
Mereka didalam keadaaan yang daif dan dinafikan hak kerakyatan. Pada masa itu, orang-orang yahudi di Algeria diberi kerakyatan tetapi hak tersebut tidak diberikan kepada orang-orang islam Algeria. Lawatan beliau itu telah membuka hati beliau dan beliau rasa tersentuh dengan cara hidup orang islam walaupun mereka ditindas.

Sekembalinya beliau di Perancis, beliau mula belajar al-quran. Empat tahun kemudian, 1894, beliau kembali ke Blida dan memeluk islam. Beliau mempelajari ilmu agama dan menunaikan haji di Mekah ketika berumur 29 tahun. Sejak hari itu, beliau memakai jubah dan serban setiap hari. Beliau dilantik sebagai ahli majlis perbandaran Pontarlier, dan beliau amat menitikberatkan kebersihan dan bantuan sosial. Akhlak dan komitemen yang diberikan beliau telah menyebabkan beliau dipandang tinggi oleh masyarakat walaupun beragama islam.

“pengembaraan” di Parlimen
Kematian ahli parlimen Pontarlier membuka pintu kepada Dr Grenier untuk bertanding. Beliau diejek dan diperlekehkan ketika kempen pilihanraya. Beliau menjadi bahan ketawa diakhbar-akhbar tempatan yang sememangnya islamophobia. Namun begitu, Dr Grenier melaluinya dengan tenang, dan menyatakan « Hanya Allah sahaja yang Maha Berkuasa, dan Dia berhak memberi kuasa kepada orang-orang yang dikehendakiNya ».


kempen pilihanraya dilakukan tanpa poster-poster dan publisiti. Beliau melakukan pidato-pidato terbuka kepada masyarakat. Ucapan beliau amat meyakinkan.
Beliau menekankan program-program sosial, yang merupakan tema terhangat pada waktu tersebut, dan menjadi perhatian  setempat dan nasional. Konsep yang beliau tekankan adalah “Persaudaraan”. Beliau mendapat sindiran sebagai « nabi Allah » di dada-dada akhbar Perancis.

Sabar dengan penantian, pada 20 disember 1896, Dr Grenier terpilih pada pusingan kedua, menandingi seorang peguam. Keputusan undian menjadi bualan semua pihak. Keesokan harinya tajuk « ahli parlimen muslim pertama » menghiasi muka hadapan akhbar. Wartawan-wartawan membanjiri bandar Pontarlier. Sebahagian dari mereka menyatakan bahawa penduduk Pontarlier harus bertanggungjawab kerana memilih « orang gila » sebagai wakil mereka. Walaubagaimanapun, setiap kali salah seorang dari kalangan wartawan itu menemubual Dr Grenier, mereka akan turut merubah pendapat mereka mengenai ahli politik ini.

kemudian, tiga minggu selepas pemilihan beliau, 12 januari 1897, Dr Grenier menjadi tajuk utama akhbar sekali lagi ketika pengumuman parlimen baharu. Sesetengah mereka memanggil beliau sebagai « ahli parlimen untuk orang muslim ». manakala yang lain memanggil beliau “ahli parlimen orang arab ». Pada edisi 14 januari 1897, Le Figaro (akhbar harian Perancis) membandingkan beliau bersama Victor Hugo dan Louis Pasteur.

Ketika di Parlimen, beliau bekelakuan seperti « ahli parlimen arab ». beliau berulang-alik ke Algeria. Beliau menyusun fakta dan informasi untuk memperjuangkan nasib penduduk jajahan Perancis. Rakan-rakan beliau mengikutinya dengan berminat, beliau telah berucap dengan baik, namun begitu, hanya segelintir yang turut bersama beliau ketika undian dijalankan.

Dengan penyiasatan beliau di Algeria, perjuangan beliau di Parlimen di Paris, Dr Grenier seolah-olah telah melupakan pengundi-pengundi beliau di Pontarlier. Pada tahun 1898, beliau digantikan dan pulang ke klinik beliau. Beliau meninggal dunia pada 25 mac 1944, pada umur 79 tahun. Namun sejak hari terakhir mandat beliau, tiada seorang pun warga muslim perancis metropolitan dilantik sebagai ahli parlimen.



Bibliographie :
 
· Sadek Sellam, l’islam et les musulmans en France, éd. Tougui, 1987
 
· R. Fernier : Docteur Philippe Grenier, ancien député de Pontarlier, éd. Faivre-Verney, Pontarlier- 1955
 
· R. Bichet: “Un comtois Musulman, le docteur Philippe Grenier : prophète de Dieu, député de Pontarlier.
Edité par l’ancien député UDR de Paris. Besançon – 1976. 




sumber : http://www.saphirnews.com/Docteur-Philippe-Grenier_a1740.html


*pengajaran yang boleh dikutip :

1) jika kita yakin pada Allah, dia akan menolong kita. dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (al-haj, 40).


2) sebenarnya orang eropah ni bukan la benci agama islam tu, cuma mereka ni tak de pengetahuan pasal agama tu. sebab tu mereka jadi islamophobia.


3) pilihlah pemimpin yang betul2 memperjuangkan hak anda. dalam kes Dr ni, dia dah lupa tanggungjawab dia pada penduduk setempat, sedangkan dia diundi untuk mewakili penduduk dia. (tiada orang perfek kan?).


4) orang perancis memang hipokrit. samalah mcm orang melayu. hahaha!








-jika ada apa2 artikel yang anda nak saya terjemahkan, bagitau la. insya'allah kalau ada masa...

Sunday, November 28, 2010

syurga itu dimana?

ibu

assalamualaikum.

tiba-tiba tadi teringat dekat lagu ni. sedih pulak hati teringat mak dan ayah...semoga mereka dibawah naungan Allah bersama-sama kekasihNya. aminnn...

Sunday, November 21, 2010

masa yang taat pada peraturan


assalamualaikum,

sudah berpurnama blog ni berhabuk, entah kemana "hati" ni dibawa berlari. kesana ke mari agaknya. lol!

semenjak ada facebook, jarang nak baca blog. dulu boleh la, sebab tak banyak kerja, sekarang ni macam hamba abdi dah (tetiba rasa 'belajar' macam dipaksa), well, it's life kan. kalau nak senang, duduk dalam kubur. ehh? duduk dalam kubur pun tak senang, kau ingat malaikat mungkar nangkir tu nak bagi ko duduk diam je berbalut-balut kain kapan, wangi_wangi bau air mawar? abis disoal, x dapat jawab kena seksa, soalan dah bocor lama, jawapan je tak dapat lagi... so ada ke yg senang?

pejam celik pejam celik dah hampir tamat masa dekat France ni. Rasa macam semalam je bukak blazer dari KPM yang oversized dan outdated fashion tu... bulan
sebelas masuk la musim luruh, habis botak pokok-pokok. terfikir macam tu la patuhnya alam dengan peraturan Allah, kita ni pulak mcm bebal sangat... asyik merudum je iman... kuatkan lah hati ni...

semester akhir ni, jarang pulak aku ponteng kelas, kalau ada strike pun aku akan pergi jugak, buat pengubat rindu...(sapa yg tak tahu, strike tu biasa je kat France ni, kelas akan ditutup so tak leh la nak teruskan pembelajaran. tahun ni tema strike adalah "pencen", nak tahu lebih lanjut, google ler).

minta doa lah supaya tak ada lagi strike, sudahlah banyak lagi yg belum dipelajari ni... lagipun ni semester akhir, juga mungkin musim luruh terakhir dekat sini... entah bila ada peluang nak datang lagi sini. sebab itu aku nak enjoy puas-puas hidup kat sini selagi ada.

musim cepat betul berlalu, terasa diri ni ketinggalan berpuluh-puluh batu dekat belakang. kalau la kita boleh kejar waktu tu, dan biar waktu yg terhegeh-hegeh kat belakang... tu semua kalau... ehh, aku pernah rasa masa bergerak perlahan, masa tunggu connection flight ke KL dekat Dubai, masa tu rasa nak jumpa pilot Emirates tu suruh cepatkan jer masa supaya dapat jumpa mak dan ayah cepat. dah sampai KL pulak, terpaksa 'dikuarantin' dekat rumah kak ijah seharian, kononnya nak buat suprise kat emak, sekali ada jer 'astro' x berbayar yang suka pecah-pecah cerita ni. hampeh...

macam tu la masa... x pernah nak khianat dengan tugasnya... sampai tempat dia pun diangkat oleh Allah sehingga Dia bersumpah dengan masa dalam surah al-asr!


last trip (last?) di Istanbul Turkey

banyak nak dicalit kat sini, tapi kerja yang wajib sebagai pelajar pun masih banyak belum siap. so nak tutup kedai kopi setakat ni jer. semoga semua diberi cahaya dalam kehidupan ini. salam.

p/s : siapa ada jual masa??? saya nak beli! pakai dinar emas atau jongkong emas !

Tuesday, March 2, 2010

cepat weh

tak sabau nak balik umah. tunggu lagi 4 purnama insya'allah!

Tuesday, February 23, 2010

berputar-putar

salam semua. aku baru nak visible kan blog aku, haritu dia 'tidur' sbb aku malas nak update. masa tu pun aku tgh cuti, so banyak member2 yg leh wat cerita2. now my life is back to normal. masing2 busy, so aku pun cakap la sorang2 ngn blog aku ni.

dalam sepi-sepi ni, aku teringat mak aku. teringat dia cakap "senang nyer jadi manusia, diberanakkan, bagi makan cukup2, bagi pelajaran cukup2, dah besar panjang kawen. tinggal la mak bapak kat rumah". hahaha!memang la macam tu putaran hidup kat dunia ni wahai bonda. kalau kita tak ikut resam tu, orang ramai pandang pelik pulak.

hurmm itu la mak...penyair yg tak bertauliah, tapi kata-kata dia sangat dalam...Semoga Allah rahmati kita semua :)

sebenarnya aku tengah sedih dan bengang ni, pasal 'kemajuan' diri (so x der kaitan ngn emosi ke apa). kadang-kadang kita tertanya2, kenapa ada kegagalan, walaupun kita sudah berusaha...Rahsia Dia, sentiasa buat diri berdebar...kalau ia ada hikmah yang besar, aku redha jer...

ok..aku dah tingtong. harini aku demam dan selsema plus dapat khabar mengejutkan tadi, makin menjadi la. so mau tidor dah...salam folks!

Wednesday, January 13, 2010

darah

disaat penduduk Malaysia mengutuk serangan keatas gereja baru-baru ini,
orang islam Palestin terus disembelih, mungkin kalau darah itu tidak tersejat, wujud satu sungai merah mengalir di Gaza dan sekitarnya....

Kalau bangunan batu itu dimusnahkan dianggap kejam,
kenapa pula darah yang mengalir itu didiamkan?
mungkin batu lebih bernilai dari nyawa...

Kalau betul-betul mahukan keadilan, hentikan semua peperangan.
kau islam, kau hindu, kau kristian, kau yahudi, kau buddha, atau kau tanpa agama,
belajar la menilai harga setitik darah.
kalau rasa darah tu murah, kelar la leher sendiri, sebab bagi orang lain, setiap nafas, setiap denyutan nadi mereka adalah lebih dari sebuah harga.



*penat melihat manusia yang bodoh tak menggunakan akal.

Saturday, January 9, 2010

miskin harta, kaya cinta

salam semua.

sekarang tengah musim sejuk. lagi tiga hari final paper. sudah 16 hari elaun tuk sem ni tak masuk lagi. tengah sale besar2an..

kesimpulan?

kesejukan, stress, kelaparan, dan kesakitan hati sebab tak leh join rakyat Besancon membeli belah.

hahaha!nasib baik ada la beberapa orang yang berbudi pekerti disekeliling aku. rasa rumah aku ni meriah jer sbb ada orang-orang datang melawat setiap hari. aneh..biasa teman ketawa senang dicari, tapi kali ni aku rasa teman menangis pulak yang ramai. yupp, terharu dan sangat berterima kasih pada mereka.

hurmm..aku rasa macam tenang jer permulaan 2010 ni. aku pun tak tahu kenapa. sebab selalunya bagi aku "kebahagiaan adalah wang, dan wang adalah kebahagiaan". ni aku dah tahap pokai nauzubillah, tapi aku rasa macam gembira jer. walau sedikit stress untuk exam. aku rasa ni mesti berkat mak bapak aku doakan (ataupun doa kalian?). inilah orang panggil "miskin harta, kaya cinta".

anak-anak aku? biar lah aku kelaparan, tapi jangan sampai diorang kelaparan. sanggup aku tebal muka kumpulkan tulang ayam kat rumah member aku tu untuk diorang. ramai yang datang cakap diorang makin susut badan...aku cuba sedapkan hati jer, tapi dekat lubuk ni, tetap rasa nak menangis. rasa berdosa pulak bela diorang. tak pe la sayang-sayang ku, derita ini hanya sementara. alaaa, bukan tak biasa hidup susah kan?

tak pe la, malas aku nak fikir benda-benda tu. bukak suratkhabar Malaysia, tengah sibuk isu "Allah" dan agama-agama ni. ni lagi satu aku malas nak cakap. padahal banyak jer hujah aku nak cakap, sebab memang dah belajar dulu, tapi serupa macam anjing menyalak bukit jer la, kalau aku cakap pun, kau ingat ada orang nak dengar? dunia ni memang dah disumpah jadi tak aman sampai kiamat kot, yer la, selagi manusia yang diamanahkan jadi khalifah ni, menolak menggunakan kewarasan akal. (bagus lagi aku layan anak-anak aku, kalau diorang terkencing pun aku tak der la nak marah, sebab binatang tak der otak).

hurmm..ok la, tu jer sedikit kata untuk dirasa. insya'allah, nanti aku update lagi. ketemu lagi yer. salam!